slider1

Isnin, 10 November 2014

Kisahku Part III

Maka bermulalah episod suka duka dalam keluarga kami. Anak yang ku lahirkan cukup sifatknya dan normal seperti kanak-kanak lain telah berubah. Setelah anakku dapat bernafas dengan stabil, doktor pakar yang berada di HAT Tuanku Mizan telah cuba menghubungi semua hospital-hospital kerajaan yang berdekatan. Tujuannya adalah untuk memastikan apabila sampai je kami ke hospital lain, kami akan terus diberikan rawatan yang sepatutnya. 

Alhamdulillah, akhirnya usaha doktor tersebut berjaya. Pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sudi menerima kami. Maka berhijrahlah kami sekeluarga ke PPUM pada malam itu. Aku dan sayangku Umairah di dalam ambulans, suami dan anak-anak lain menaiki kereta. 

Setibanya kami di PPUM, Umairah terus dimasukkan ke Unit Kecemasan dan seterusnya ke ICU. Saat itu tiada airmata aku masih mampu kutahan. Cuma, aku jadi gelabah menghadapi semua situasi itu. Suami dan anak-anak yang lain juga begitu. Kami sekeluarga panik! 

Didalam ICU, sayangku Umairah dipasang dengan segala macam wayar dan dia masih tidak sedarkan diri. Aku dapat lihat dadanya berombak perlahan berjuang meneruskan kehidupan. Sekali lagi aku menerima dugaan hebat. Doktor yang merawat Umairah meminta kebenaran untuk mengambil air tulang belakang. Ya ALLAH, apa yang perlu aku jawab? Siapa yang perlu aku rujuk? Apakah kesannya dikemudian hari? Allahuakbarrr...disaat itu kepalaku semakin semak. Aku dan suami makin hilang punca. Siapa yang perlu kami rujuk?

Namun, aku dan suami terpaksa memberikan kata putus dan kami serahkan segala-galanya pada ALLAH kerana DIA MAHA PENGATUR. Kami memberikan persetujuan tanpa memikirkan kesannya dikemudian hari. Nyawa Umairah lebih penting. Kami redha. Sewaktu aku menjenguk masuk ke dalam biliknya, aku lihat Umairah seakan tidur nyenyak dengan menggunakan oksigen. Tiba-tiba aku terhidu bau yang sangat busuk seperti bau perut ikan. Aku pun memberanikan diri untuk tengok mungkin Umairah buang air besar. 
Memang betul, bau itu datangnya dari najis Umairah yang berwarna hijau gelap dan lembik seperti agar-agar. Ya ALLAH, mengapa sampai begitu sekali? Subhanallaaahhh...

Terus kami panggil doktor yang bertugas untuk buat apa yang patut. Mereka ambil sampel najis tersebut. Malam itu merupakan malam yang panjang buat kami sekeluarga dan kami bermalam di kaki lima wad ICU tersebut. Ku lihat anak-anakku tidur dengan lena. Apalah yang mereka faham dengan situasi begitu. Aku dan suami? Rasa mengantuk hilang begitu saja. Umairah lebih penting dari masa tidur kami.  Kami tidak putus berdoa supaya nyawa anak kami dapat diselamatkan. Selang beberapa minit, aku bangun untuk menjenguk Umairah di dalam. Setiap kali air susuku menitik, setiap kali itulah juga airmataku menitis laju.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan