slider1

Selasa, 11 November 2014

Kisahku Part IV

Segala kepedihan dan kesengsaraan aku dan suami laluinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Alhamdulillah, keluarga kami juga tidak putus-putus menyuntik kata-kata semangat dan memberikan kami kekuatan. 

Bayi yang kukandung 9 bulan akhirnya terlantar begitu sahaja. Alhamdulillah, keadaan Umairah makin stabil. Cuma, dia tidak lagi aktif seperti sebelumnya. Dia hanya terbaring tidak bergerak-gerak. 

Aku masih ingat, sesampainya emakku ke hospital tersebut keesokan harinya, kami saling berpelukan. Disaat itu, airmata ini tidak dapat kubendung lagi. Habis semua berhamburan keluar mencurah-curah. 

Emak juga seperti memahami situasiku saat itu. Kujadikan bahu emak untuk melampiaskan segala kesedihan yang kutahan sebelum ini. Tubuh emak kupeluk sangat erat. Airmata menjadi bahasa isyarat kami pada waktu itu. Tiada kata-kata yang mampu kuluahkan untuk menggambarkan kesedihanku pada tika dan saat itu. 


Aku dengar anakku yang ke-2 bertanyakan pada adikku, "kenapa ibu dengan nenek nangis?" Wahai anak, kau masih terlalu kecil untuk memahami soal hati dan perasaan seorang ibu. 

Sepanjang berada di PPUM, pelbagai pemeriksaan telah dijalankan keatas anakku. Umairah yang bergantung kepada susu badanku diberikan susu formula dengan menggunakan tiub. Aku pula pada waktu itu memang tiada langsung ilmu tentang EBM. Tiada rakan-rakan yang boleh dijadikan rujukan tentang EBM. Maka, susu badanku terbuang begitu sahaja. Setiap kali air susuku menitik, setiap kali itu jugalah air mataku turut sama menitis. Wajah Umairah yang begitu tenang kutatap sepuas-puasnya.

Aku mula berkampung di PPUM menemani Umairah. Sepanjang menemani Umairah disana, aku tidak putus-putus berbisik di telinganya memberikan kata-kata perangsang. Tak kurang juga ku bacakan ayat-ayat quran supaya menjadi halwa telinganya. Pelbagai usaha yang kami lakukan. Suamiku dan anak-anak kami yang 2 orang itu sering juga berulang-alik datang menjenguk kami di hospital. Segala urusan anak-anak yang lagi 2 orang itu semuanya diuruskan oleh suamiku. Terima kasih banyak, suamiku. 

Aku masih ingat, pada suatu pagi yang hening, aku membisikkan kata-kata semangat ke telinga Umairah. Aku bisikkan padanya, "kalau adik buka mata, ibu upah susu". Sesungguhnya ALLAH itu Maha Besar. DIA makbulkan doaku itu dan petang itu anakku jadi sawan. Betul-betul di hadapan mata suamiku dan abang iparnya kejadian itu berlaku. Petang itu satu ujian CT Scan dilakukan ke atas Umairah. Untuk mengetahui punca kenapa berlakunya sawan tersebut. Tetapi, alhamdulillah keputusannya elok dan selepas itu..Umairah sudah mula membuka matanya walaupun dalam keadaan lemah. 

Malam itu juga Umairah diserang sawan sekali lagi. Kali ini betul-betul di hadapan jururawat yang datang untuk memeriksanya. Malam itu, satu lagi ujian CT Scan dilakukan dan keputusannya tetap sama. Umairah tiada masalah apa-apa. Mungkin ramai yang tertanya-tanya tentang pengasuh tersebut, kan? Apa tindakan kami pada mereka dan apakah yang sebenarnya berlaku pada Umairah, kan? Kita sambung esok yea..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan